SHAH ALAM, 27 DIS: Dua beradik dari Selangor mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah Skill Master dalam Pertandingan Robotik MakeX di China, awal bulan lalu.
Anugerah diterima Muhammad Adam Mikhael Azziddin, 11, dan adiknya Putri Qayreen Sofia, 9, selepas masing-masing menduduki tempat ke-15 dan 18 pada peringkat akhir yang disertai 262 peserta dari pelbagai negara.
Ketua pegawai eksekutif Akademi Robotik JAZRO berkata kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan Kajang yang mula menyertai akademinya tahun lalu memberi lonjakan ketara berbanding kedudukan wakil negara di tempat ke-28 tahun lalu.
“Pencapaian ini lebih daripada sekadar kejayaan peribadi. Ia mewakili potensi hebat anak muda Malaysia apabila diberi peluang pendidikan yang sewajarnya.
“Misi kami di JAZRO adalah untuk memupuk minda muda, mengubah rasa ingin tahu kepada inovasi. Kedudukan global ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan pendedahan yang betul, anak-anak kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa," kata Ir Dzulfarqeish Zainuddin dalam kenyataan.
Beliau berkata sebelum menyertai pertandingan yang berlangsung di Shenzhen dari 6 hingga 8 Disember, Muhammad Adam menjuarai pertanding MakeX kebangsaan bagi kategori Inspire manakala Putri Qayreen di tempat kedua.
“Pertandingan robotik ini memberi pengalaman tidak ternilai yang melangkaui kemahiran teknikal, membangunkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pemikiran inovatif.
"Pengiktirafan dicapai ini mencerminkan kemajuan usaha negara dalam meningkatkan pengajian STEM. Ini juga menaikkan semangat JAZRo dan kami mahu terus maju sebagai pemangkin,” katanya.


