ad
AGENDA

Sekretariat: Gus Azmi tidak terlibat Festival Darul Ehsan Berselawat

25 Dis 2024, 4:28 AM
Sekretariat: Gus Azmi tidak terlibat Festival Darul Ehsan Berselawat
Sekretariat: Gus Azmi tidak terlibat Festival Darul Ehsan Berselawat

SHAH ALAM, 25 DIS: Pendakwah dari Indonesia, Mohammad Ulul Azmi Askandar atau lebih dikenali Gus Azmi tidak terlibat dalam Festival Darul Ehsan Berselawat yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

"Setelah pertimbangan lanjut, sekretariat ingin memaklumkan festival ini akan berlangsung tanpa penglibatan Gus Azmi. Segala keprihatinan pendokong Festival Darul Ehsan Berselawat adalah keutamaan kami.

“Sokongan daripada anda semua amat kami hargai. Jumpa anda semua pada 27, 28 dan 29 Disember nanti,” menurutnya dalam kenyataan.

Festival Darul Ehsan Berselawat dijadual berlangsung di Setia City Park Oval Lawn, Setia Alam pada 27 hingga 29 Disember ini.

Program selama tiga hari menjelang tahun baharu itu bakal disempurnakan oleh Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis munajat, zikir dan berselawat itu juga diserikan dengan kehadiran tokoh terkenal antaranya Dr Habib Luthfi Ali Yahya, Habib Najmuddin Al Khered, Habib Ali Zainal Abidin Assegaf, Ustaz Iqbal dan Ustaz Neezam.

Sebelum ini, jemputan Gus Azmi ke Festival Darul Ehsan Berselawat menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak susulan pendakwah muda itu terkenal dengan tabiat merokok termasuk di atas pentas.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.