PBT

MBDK lanjut tempoh membaharui lesen perniagaan, iklan hingga 31 Januari

25 Dis 2024, 12:30 AM
MBDK lanjut tempoh membaharui lesen perniagaan, iklan hingga 31 Januari

SHAH ALAM, 25 DIS : Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melanjutkan tempoh pembaharuan lesen industri, perniagaan dan iklan sehingga 31 Januari depan.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata pembaharuan lesen boleh dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui Sistem MyLesen dan tiada denda dikenakan sepanjang tempoh pelanjutan itu.

"MBDK turut membuka kaunter pembaharuan lesen termasuk membantu memberi khidmat nasihat penggunaan sistem MyLesen.

“Kaunter dibuka mulai 23 Disember hingga 31 Januari di Dewan Hamzah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama ahli majlis MBDK semalam.

Beliau turut mengingatkan semua pemegang lesen diingatkan memperbaharui lesen dengan kadar segera bagi mengelakkan kesesakan di saat akhir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata orang awam yang ingin menyalurkan aduan kecemasan seperti pokok tumbang, banjir, pembakaran terbuka boleh menghubungi aduan bencana MBDK menerusi talian WhatsApp 017-8747 363.

Talian aduan bencana ini beroperasi 24 jam dan dikendalikan oleh Unit Pasukan Pantas MBDK.