ad
AGENDA

Lima tan makanan kucing diedar kepada pemilik terjejas banjir

23 Dis 2024, 1:00 AM
Lima tan makanan kucing diedar kepada pemilik terjejas banjir
Lima tan makanan kucing diedar kepada pemilik terjejas banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Syarikat pengedar makanan kucing, Brit Xpet United Sdn Bhd (Brit Malaysia) menyumbang lima tan makanan kucing kepada pemilik haiwan berkenaan yang terjejas banjir.

Presiden Kelab Kucing Malaysia berkata sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Lembaga Kebajikan Haiwan Malaysia untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.

“Kita sudah mula agih makanan kucing ke Kelantan bermula minggu lalu dan kita akan serah ke negeri lain yang terjejas banjir dalam masa terdekat.

“Kita harap orang ramai juga dapat bantu sumbang barangan kelengkapan lain seperti ubat-ubatan, pasir kucing dan sebagainya kerana ramai mangsa yang memerlukan,” kata Khalid Rashid.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Brit Malaysia yang diwakili pengurus jualannya Alex Ng di Hotel The Saujana Kuala Lumpur di sini, semalam.

[caption id="attachment_679014" align="alignnone" width="805"] Peserta penerima anugerah ketika majlis makan malam "Crowning Gloru" bersama pemilik dan pecinta kucing di Hotel Saujana Kuala Lumpur, Subang Jaya pada 22 Disember 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Khalid memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan lebih terperinci berhubung kes tiga kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya (UM).

Beliau yang berpengalaman menyelamatkan ratusan kucing berkata, kematian haiwan berkenaan dalam keadaan dipercayai empat kakinya dipotong akibat digigit anjing liar adalah meragukan.

“Cara matinya lain jadi saya berharap pihak berkuasa boleh bantu menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan telus dalam kes ini.

“Kalau serangan anjing, selalunya anjing akan menerkam leher atau perutnya (kucing) terburai dan jarang nak makan habis tetapi kaki (kucing dalam kejadian itu) macam dipotong," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seekor kucing bernama 'Lily' ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila keempat-empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar di badannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, semakan rakaman kamera litar tertutup di sekitar UM mendapati terdapat sekumpulan anjing liar bertindak menyerang kucing terbabit.