PUTRAJAYA, 21 DIS: Statistik Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan 3,275 kes insiden di laut melibatkan 16,420 mangsa dari 2006 hingga semalam.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata daripada jumlah itu 1,643 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan 777 diklasifikasikan sebagai hilang.
Beliau berkata bagi tempoh dari Januari hingga Disember tahun ini pula, BCLBB merekodkan 216 kes insiden di laut membabitkan 1,253 mangsa, dan daripada jumlah itu 62 orang dilaporkan meninggal dunia, 26 orang dikategorikan hilang.
Berdasarkan statistik itu, beliau menasihatkan rakyat negara ini untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika melakukan aktiviti laut sepanjang musim cuti sekolah dan sambutan Hari Natal, Rabu ini.
“Mereka yang ingin melakukan aktiviti laut perlu sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot dinaiki berada dalam keadaan selamat memandangkan cuaca tidak menentu pada hujung tahun akibat Monsun Timur Laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pengendali bot penumpang memastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan.
- BERNAMA