SUBANG JAYA, 21 DIS: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntuk RM15 juta untuk mengagih tong sampah kepada 60,000 unit kediaman bermula tahun depan, kata datuk bandarnya.
Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata agihan tong sampah berkapasiti 120 liter yang diberi secara percuma itu dilaksana secara dua fasa sehingga 2026.
"Semua sedia maklum peratusan kadar cukai taksiran baharu bermula tahun depan dan MBSJ juga telah merencana beberapa program termasuk memberi tong sampah secara percuma kepada kediaman yang berdaftar.
"Kita peruntuk RM15juta yang mana sebagai permulaan RM8juta untuk tahun depan dan selebihnya pada 2026. Ini antara inisiatif kita untuk seragamkan tong sampah di setiap kediaman.
"Inisiatif ini bermula di kediaman yang berdaftar terlebih dahulu dan mungkin diperluas ke premis-premis kedai kerana penetapan cukai taksiran baharu tidak beri pendapatan yang banyak kepada MBSJ," katanya ditemui pada mesyuarat penuh bulanan MBSJ hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan selain pemberian tong sampah secara percuma MBSJ turut menitikberat isu kebersihan di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengelak kejadian banjir kilat terus berlaku.
"Di kawasan bandar juga berlaku banjir kilat kerana terdapat saliran-saliran yang tersumbat kerana terdapatnya daun sehingga menghalang laluan air.
"Namun, MBSJ sentiasa ambil maklum dan memastikan aset-aset terjaga serta bersih. Kerja pembersihan dilaksana setiap masa supaya saliran-saliran diselenggara dengan sempurna," ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menjelaskan MBSJ akan menambah sebuah pusat kurungan haiwan yang baharu pada tahun depan.
"Buat masa ini, kita ada satu pusat di Taman Perindustrian Puchong Utama dan bakal bangunkan sebuah lagi di lokasi yang dimaklumkan dalam masa terdekat.
"Pusat kurungan baharu ini lebih kondusif, selesa serta diselaras dengan pembangunan Selangor Greater Klang Valley (SGKV) yang dirangka Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1)," katanya.