ad
AGENDA

Golongan 50 tahun sasaran sindiket tipu dalam talian, rugi lebih RM900 juta

18 Dis 2024, 6:05 AM
Golongan 50 tahun sasaran sindiket tipu dalam talian, rugi lebih RM900 juta
Golongan 50 tahun sasaran sindiket tipu dalam talian, rugi lebih RM900 juta

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Polis Diraja Malaysia mendedahkan nilai kerugian yang dialami mangsa jenayah sindiket penipuan berusia 50 tahun ke atas adalah tertinggi berbanding kelompok umur lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sepanjang 2022 hingga tahun lalu, 59,974 individu menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian dan daripada jumlah tersebut, 11,157 mangsa atau 18.6 peratus adalah dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas.

Beliau berkata trend hampir sama dicatatkan tahun ini iaitu daripada 33,549 kes penipuan dalam talian direkodkan hingga 15 Disember lalu, 8,022 mangsa atau 24 peratus berusia 50 tahun ke atas.

Nilai kerugian akibat kes penipuan dicatatkan bagi 2022 dan 2023 adalah kira-kira RM2 bilion, katanya.

"Walaupun bilangan mangsa dalam kalangan umur ini (50 tahun ke atas) rendah berbanding kelompok umur lain, namun kerugian kelompok umur itu pada 2022 dan 2023 adalah lebih RM900 juta bersamaan 44 peratus berbanding jumlah keseluruhan kerugian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, semalam.

[caption id="attachment_565060" align="alignleft" width="500"] Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA[/caption]

Ramli berkata setakat 15 Disember lalu, kerugian melibatkan mangsa berumur 50 tahun ke atas mencecah RM780 juta atau 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian dicatatkan iaitu RM1.45 bilion.

Dapatan ini katanya menjelaskan mengapa golongan lebih berusia menjadi ‘sasaran berkualiti’ kepada sindiket penipuan dan oleh itu mereka diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan dalam talian.

“Polis juga menyeru agar informasi jenayah komersial khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat dikongsikan kepada semua golongan khususnya ibu bapa kita, ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga serta jadikan topik ‘scammer’ ini sebagai satu perbincangan bagi mengelak menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata PDRM merekodkan 6,909 kes penipuan e-dagang melibatkan nilai kerugian RM62 juta dalam tempoh Januari hingga 15 Disember lalu.

Ramli berkata penipuan yang berpunca daripada iklan menerusi laman Facebook mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,457 kes, diikuti Whatsapp dengan 1,168 kes, TikTok (800 kes) dan Telegram (771 kes).

“Dalam keghairahan sebahagian kita menyambut musim perayaan dan cuti sekolah pada minggu hadapan, saya percaya ramai mula membeli kelengkapan perayaan seperti pakaian baharu, perabot dan sebagainya.

“Tentunya, pembelian secara dalam talian menjadi salah satu pilihan. Justeru, sebagai langkah pencegahan, pembeli dalam talian diingatkan mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.