ad
AGENDA

35,368 kes penipuan libat kerugian RM1.6 bilion direkod tahun lalu

3 Mac 2025, 1:00 PM
35,368 kes penipuan libat kerugian RM1.6 bilion direkod tahun lalu

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sejumlah 35,368 kes penipuan melibatkan kerugian RM1.6 bilion dilaporkan tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata jumlah itu mewakili 84.5 peratus daripada 41,701 kes jenayah komersial direkod pada 2024.

“Bilangan kes penipuan direkodkan pada 2024 meningkat tiga peratus berbanding 2023 iaitu 34,495 kes.

“Lebih membimbangkan ialah kerugian kewangan pada 2024 menyaksikan peningkatan ketara 29 peratus berbanding RM1.2 bilion dilaporkan pada 2023,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Wira Bank #JanganKenaScam 2025, di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Ramli berkata statistik bukan hanya menunjukkan impak kewangan, tetapi juga kesan psikologi teruk dialami mangsa seperti sering berasa terperangkap, malu dan mengalami tekanan amat tinggi.

Ramli berkata daripada panggilan telefon palsu ke mesej penipuan dan pelaburan palsu menjanjikan pulangan tinggi, kes penipuan semakin berkembang menjadi ancaman yang ketara dan meningkat.

“Meningkatkan kesedaran tentang penipuan adalah penting untuk melindungi diri kita dan keluarga daripada menjadi mangsa jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata 24,388 serbuan dilakukan di seluruh negara tahun lalu membawa kepada penahanan 25,829 individu disyaki terlibat dalam jenayah komersial termasuk penipuan, dengan 16,813 kes didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, Ramli menegaskan usaha Polis Diraja Malaysia dan bank sahaja tidak mencukupi, dengan masyarakat digesa untuk terus berwaspada menerusi amalan perbankan baik serta berkongsi pengetahuan tentang pencegahan penipuan bersama komuniti mereka.

“Pencegahan jenayah komersial bukan hanya satu inisiatif, tetapi juga tanggungjawab bersama. Dengan memupuk budaya kesedaran, kita boleh mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk semua,” katanya.

Ramli berkata antara 2023 hingga 2024, industri perbankan berjaya memintas dan mencegah transaksi dalam talian mencurigakan serta penipuan bernilai lebih RM780 juta.

Terdahulu, 67 pekerja bank menerima pengiktirafan kerana membantu melindungi pelanggan daripada penipuan dan berjaya mencegah transaksi penipuan dianggarkan berjumlah RM12.4 juta pada 2024.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.