SHAH ALAM, 17 DIS: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pasukan Selangor Red Giants (SRG) dan Akademi Todak bagi mengajurkan pelbagai pertandingan e-sukan untuk mencungkil bakat baharu.
Menurut EXCO Sukan Najwan Halimi, langkah ini juga bertujuan mencari pelapis negeri pada tahun akan datang selain pelan pembangunan berterusan ekosistem sukan berkenaan.
[caption id="attachment_652646" align="aligncenter" width="800"] EXCO Belia Sukan Mohd Najwan Halimi ditemui media selepas menyambut ketibaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang di Riyadh Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 17 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Baru-baru ini sebuah program e-sukan dianjur dengan kerjasama SRG dan Akademi Todak dengan penglibatan 32 sekolah menengah dalam daerah Petaling.
“Hujung bulan ini, kita akan laksanakan satu lagi pertandingan yang dikenali Selangor Feature Cup akan disertai 128 sekolah seluruh negeri,” katanya dalam program SKOP terbitan Selangor TV.
Dalam pada itu, Najwan memberitahu e-sukan semakin mendapat sokongan dalam kalangan guru dan ibu bapa dengan menyedari peranannya kini telah berkembang menjadi sebuah industri yang mampu mencipta kerjaya professional.
“Ia menepis persepsi permainan e-sukan melalaikan dan tidak memberi nilai tambah kepada kepada anak-anak mereka.
“Melihat kepada perkembangan anak muda Malaysia banyak yang berjaya di pentas antarabangsa daripada e-sukan mereka menjadikan sebagai satu profesion,” katanya.
Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan Kerajaan Negeri akan mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 di sini untuk dijadikan Gedung E-Sports dengan peruntukan RM1 juta.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan memberi peluang kepada negeri menjadi tuan rumah kepada pertandingan e-sukan di peringkat Asean dan antarabangsa.