Oleh AMAR SHAH MOHSEN
SHAH ALAM, 2 DIS: Selangor giat meneroka peluang penglibatan lebih aktif dalam sukan dron dengan mengambil kira potensi besar bidang itu di masa depan.
EXCO sukan berkata sukan dron wajar diberi perhatian meskipun tumpuan utama negeri kini lebih kepada pembangunan dron dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Mohd Najwan Halimi berkata golongan belia yang berminat dengan kursus TVET turut berpeluang mempelajari bidang dron secara menyeluruh.
[caption id="attachment_667761" align="aligncenter" width="802"] EXCO Sukan, Najwan Halimi bercakap kepada media ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara (HSN2024) Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 12 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kursus ini turut menawarkan akreditasi, membolehkan peserta menjadi pakar dron. Tapi kami melihat semua peluang. Hari ini, saya nampak potensi besar dron dalam sukan. Ini sesuatu yang boleh diterokai dengan lebih lanjut.
“Tadi, saya sempat menyaksikan perlumbaan dron dan bola sepak dron. Mungkin kita akan lihat lebih banyak sukan dron diperkenalkan pada masa depan. Ini sesuatu yang baru, tapi tak salah untuk kita cuba teroka,” katanya selepas menghadiri pelancaran Pelan Hala Tuju Strategik Sukan Dron Kebangsaan (Nadsar) di Cyberjaya pada 29 November.
Jelas Mohd Najwan cabaran terbesar memperluas penglibatan dalam sukan dron ialah kos yang tinggi menyebabkan sukan ini hanya mampu diakses oleh golongan daripada keluarga berada.
Ditanya sama ada Selangor akan mempertimbang memasukkan sukan dron dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, beliau menjelaskan tumpuan Selangor lebih kepada sukan berprestasi tinggi.
“Fokus ini adalah untuk memastikan atlet Negeri dapat bersaing di peringkat lebih besar seperti Sukan Olimpik. Bagaimanapun, kita pernah melihat pasukan perlumbaan dron membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, walaupun tanpa sokongan rasmi daripada kerajaan.
“Mungkin pada masa depan, Kerajaan Persekutuan, Kementerian Belia dan Sukan, serta negeri-negeri boleh berbincang bagaimana untuk memberi sokongan terbaik. Sukan dron masih di peringkat awal, tetapi ada ruang untuk kita teroka,” katanya.
Nadsar adalah inisiatif oleh Futurise Sdn Bhd melalui Akademi Kebangsaan untuk Kecemerlangan Sukan Dron yang dilancarkan sempena acara Drone Hub Innovation for Future Talents. Ia menonjolkan komitmen Malaysia terhadap inovasi dron dan pembangunan bakat.
Futurise, anak syarikat Cyberview Sdn Bhd, pemaju hab teknologi Cyberjaya, menerusi kenyataan menjelaskan, Nadsar berfungsi sebagai pelan induk untuk perkembangan sukan dron di Malaysia dengan fokus utamanya adalah pembentukan bakat, kerjasama industri dan penambahbaikan peraturan.
Pada acara berkenaan turut diumumkan penubuhan Cyberjaya Drone Hub, sebuah inisiatif Cyberview untuk menjadikan Cyberjaya sebagai ekosistem dron yang berkembang pesat.
Selain itu, program Cyberjaya Drone Hero (CDH) turut dilancar menawarkan latihan praktikal, peluang bersaing dan pendedahan kepada teknologi canggih untuk pelajar dan peminat dron.
Setakat ini, program CDH telah melatih lebih 200 pelajar dari 14 institusi pembelajaran di seluruh negara.