SHAH ALAM, 17 DIS: Peluang menjadi wakil rakyat dan berbahas dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dimanfaatkan sebaiknya peserta Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2024, semalam.
Mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Nur Atiqah Mohd Jani, 34, menganggap 'kerusi panas' itu amat mencabar, selain proses persidangan simulasi yang tidak mudah.
Meskipun begitu, dia tetap menyahut cabaran dan bersyukur apabila mendapat mentor, yang juga salah seorang pegawai kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_678153" align="alignright" width="414"] Nur Atiqah Mohd Jani, 34, bercakap kepada wartawan selepas tamat program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Alhamdulillah, Tuan Muadzam Mohamed Shariff yang juga pegawai tugas-tugas khas Dato' Menteri Besar sangat banyak membantu daripada awal sehingga hari ini (semalam).
“Bukan mudah apabila perlu menjadi menteri besar dalam SIWANIS, tetapi saya cuba sebaiknya. Insya-Allah, segala tunjuk ajar akan dimanfaatkan,” katanya ketika ditemui.
Nur Atiqah yang juga pensyarah psikologi di Universiti Cyberjaya mengetahui berkenaan program itu menerusi media sosial dan tertarik untuk mencuba kerana minat mendalam terhadap politik.
“Saya cuba mohon dan mahu kongsikan pengalaman sebagai pemimpin mahasiswa di Universiti Malaya sebelum ini. Jika diberi kesempatan, saya sedia terlibat dalam politik,” katanya.
Sementara itu, Tee Ghia Hoong, 36, yang juga seorang akauntan menyifatkan SIWANIS platform terbaik untuk wanita menceburi bidang politik dan menyuarakan pendapat.
[caption id="attachment_678152" align="alignleft" width="393"] Tee Ghia Hoong, 36, bercakap kepada wartawan selepas tamat program Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2024 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Disember 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mewakili kerusi pembangkang di DUN Sungai Burong, dia mengetahui program tersebut melalui parti DAP yang dianggotainya dan gembira berpeluang berbahas seperti wakil rakyat.
“Memang agak mencabar kerana kita perlu membahas usul dengan fakta, namun ini pengalaman manis kerana dapat masuk DNS. Harap ia diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Program yang diadakan bermula tahun lalu dirasmikan EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari dan turut dihadiri Speaker Lau Weng San.
Seramai 56 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang mewakili blok kerajaan dan pembangkang menyertai SIWANIS 2024 dengan membawa dua usul.
Usul tersebut ialah usaha mengurangkan kos sara hidup golongan rentan khususnya dalam bidang pengangkutan dan minimum 50 peratus perwakilan wanita dalam politik.