SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 2,115 koperasi berdaftar di seluruh negeri sepanjang tahun lalu, menjadikan Selangor kekal peneraju badan berkenaan di Malaysia.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata koperasi itu turut merekodkan perolehan sebanyak RM706.31 juta, dengan nilai aset RM2.69 bilion dalam tempoh sama.
“Tahun lepas juga mencatatkan nilai syer dan yuran sejumlah RM785.83 juta, dengan keanggotaan 648,633 ahli,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.
Ditemui selepas merasmikan majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2024, beliau turut berharap semua koperasi dapat memperkemas operasi pentadbiran masing-masing.
Menurut Amirudin, tiga elemen penting perlu ditekankan badan tersebut melibatkan tatakelola, adaptasi perubahan pendigitalan dan meluaskan pasaran perniagaan.
“Jika tiga elemen ini dilaksanakan, koperasi Selangor mampu mencapai nilaian ekonomi (perolehan) mencecah RM1 bilion untuk beberapa tahun akan datang,” jelasnya.