SHAH ALAM, 16 DIS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) belum menerima permohonan rasmi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti berkenaan.
Naib Presidennya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan akrab bersama rakan komponen perlu dilakukan jika menteri pelaburan, perdagangan dan industri memohon keahlian parti tersebut.
“Kita tunggu permohonan rasmi kalau ada tetapi ia harus dilakukan dengan kaedah perbincangan yang akrab dengan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Itu penting supaya kita dapat jamin kekuatan (Pakatan Harapan) ndan meneruskan agenda mengekalkan kestabilan politik yang terbukti menjadi resepi penting kepada kejayaan pelaburan dan dasar-dasar lain,” katanya.
Ditemui selepas melepaskan konvoi Skuad Ihsan Madani ke Kelantan, Amirudin berkata beliau tidak pasti sama ada Tengku Zafrul ada menemui kepimpinan parti bagi membincangkan perkara itu.
“Biarkan proses itu berjalan dan sebagainya. Saya rasa perbincangan masih lagi terlalu awal. Mungkin parti kena lihat apakah kesudahannya sebab kita belum dapat maklumat rasmi, hanya desas desus,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul berkata belum membuat sebarang keputusan berhubung khabar angin akan menyertai KEADILAN
Beliau menegaskan dirinya memegang prinsip setiap keputusan akan dilakukan dengan penuh adab termasuk memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO.
Terdahulu Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul serta terbuka menerima sesiapa sahaja yang boleh menyumbang kepada parti.