SHAH ALAM, 16 DIS: Bayaran haji seorang jemaah muassasah berpendapatan rendah (B40) pada tahun depan adalah RM15,000, berbanding kos sebenar RM33,300.
Bakal jemaah B40 menerima bantuan kewangan Tabung Haji (TH) sebanyak RM17,300 seorang serta bantuan kerajaan RM1,000 seorang.
“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000," kata Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH.
Syed Hamadah Syed Othman berkata kadar bayaran bakal haji kumpulan berpendapatan sederhana (M40) yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM23,500 berbanding RM19,152 seorang pada 2024.
“Bakal haji muassasah kumpulan M40 pula menerima bantuan kewangan berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500,” katanya.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan T20 yang kali pertama kekal RM33,300 pada 2025 iaitu bersamaan kos haji bagi seorang haji muassasah yang ditetapkan pada 2024.


