AGENDA

KEADILAN pinda perlembagaan bolehkan pertambahan ahli undi pilih pimpinan tertinggi

15 Dis 2024, 7:39 AM
KEADILAN pinda perlembagaan bolehkan pertambahan ahli undi pilih pimpinan tertinggi

SHAH ALAM, 15 DIS: Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini meluluskan pindaan perlembagaan yang membolehkan pertambahan jumlah perwakilan bagi memilih pimpinan tertinggi parti.

Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil berkata anggota parti di peringkat Cabang kini diberi peluang sama untuk mengundi selain pindaan perlembagaan turut melibatkan penetapan kuota gender dan etnik.

“Pindaan ini memberi lebih keadilan kepada semua. Harapan saya ini akan membolehkan penglibatan semua anggota daripada pelbagai latar belakang dalam proses pemilihan pimpinan tertinggi parti,” katanya kepada pemberita.

Bertempat di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor di sini, Kongres Nasional Khas KEADILAN disempurnakan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 100 ahli KEADILAN hadir namun pengecualian diberikan kepada ahli di Kelantan, Terengganu, dan Kedah yang kini terjejas banjir.