ad
AGENDA

KEADILAN amal prinsip terbuka, terima ahli beri sumbangan kepada parti

15 Dis 2024, 7:02 AM
KEADILAN amal prinsip terbuka, terima ahli beri sumbangan kepada parti
KEADILAN amal prinsip terbuka, terima ahli beri sumbangan kepada parti

SHAH ALAM, 15 DIS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengamalkan prinsip terbuka dan menerima penyertaan individu yang mampu memberi sumbangan kepada parti.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemasukan ahli baharu juga perlu dibuat secara baik tanpa menjejaskan hubungan dengan parti lain, khususnya rakan sekutu.

“Kita ambil sikap terbuka, orang yang mampu beri sumbangan kepada parti, (masuk) dengan cara baik supaya hubungan kita dengan parti lain, termasuk Umno dalam keadaan baik.

“Melalui pengalaman kita, kita tidak galakkan (lompat parti) tetapi kita tidak pernah halang. Malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik antara parti,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Kongres Nasional Khas KEADILAN di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Generasi Muda dan Sukan di Seksyen 7 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengakui wujud perbincangan awal membabitkan penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam KEADILAN.

“Kita buka ruang dan runding dengan baik. Tengku Zafrul pun begitu. Kita tidak ajak orang tetapi kita sedia berbincang. Dalam parti kita, bekas Umno pun ada,” katanya.

[caption id="attachment_677966" align="alignnone" width="785"] Presiden KEADILAN Datuk Anwar Ibrahim bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari hadir ketika Konvensyen khas KEADILAN di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 15 Disember 2024. Foto RADIN WAZIR/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR[/caption]

Terdahulu, timbul dakwaan kononnya Tengku Zafrul akan menggantikan Dato’ Menteri Besar, susulan khabar angin mendakwa anggota senator itu bakal menyertai KEADILAN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari semalam memaklumkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menasihatinya agar terus kekal mentadbir negeri sehingga tamat penggal.

Menurutnya, pesanan dititip Baginda beberapa hari lepas demi memastikan negeri berada dalam keadaan stabil dan harmoni tanpa diganggu mana-mana pihak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.