ad
AGENSI

39 asnaf LZS cemerlang dalam pendidikan, perniagaan

15 Dis 2024, 3:23 AM
39 asnaf LZS cemerlang dalam pendidikan, perniagaan

Oleh UFAIRAH TARMIDZI

SHAH ALAM, 15 DIS: Usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu golongan asnaf berbaloi apabila 39 penerima bantuan mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan yang diberikan menjadi pemangkin perubahan hidup selain mampu melahirkan individu berkualiti dan berdaya saing.

"Langkah proaktif LZS bahagian pembangunan asnaf di mana LZS bukan hanya menumpukan kepada bantuan asas seperti makan, minum dan tempat tinggal dan sebagainya.

"LZS juga menitikberatkan asnaf untuk memastikan mereka akan berada di status yang lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini semalam.

Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan merangkumi Anugerah Pendidikan, Anugerah Mualaf, Anugerah Usahawan, Anugerah Kerjaya dan Anugerah Khas yang mengiktiraf pencapaian penerima dalam pelbagai bidang.

Menurut Mohd Sabirin, 23 pelajar daripada 39 penerima bantuan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Tujuh penerima Anugerah Mualaf berjaya melepasi had ta’lif dan tiga bekas asnaf yang gigih mengembangkan perniagaan mereka menerusi bantuan perniagaan yang diberikan." katanya.

Tambah beliau, LZS komited memastikan golongan asnaf mendapat akses kepada pendidikan dan kemahiran berkualiti agar mereka berpeluang mengembangkan potensi yang ada.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.