ad
AGENSI

Minat dalam perniagaan, bekas guru kini ikon usahawan Hijrah Selangor

12 Dis 2024, 2:00 PM
Minat dalam perniagaan, bekas guru kini ikon usahawan Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 12 DIS: Minat mendalam terhadap keusahawanan selain mahu membantu golongan ibu bapa, mendorong seorang bekas guru membuka perniagaan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Kecekalan Rahmah Safari, 48, berhasil apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Usahawan pada Majlis Anugerah Hijrahpreneur 2024 anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) hari ini.

“Perjalanan perniagaan taska saya bermula pada 2013 dengan seorang kanak-kanak sahaja. Sekarang saya sudah ada 350 kanak-kanak dan beroperasi di Jalan Kebun, Klang.

“Saya mahu beri perkhidmatan kepada masyarakat terutamanya ibu bapa yang mahu sediakan tempat selamat untuk anak ketika bekerja dan pendidikan awal yang terbaik,” katanya kepada pemberita.

Rahmah membuat pinjaman Hijrah Selangor pada 2014 dengan dana awal RM20,000, diikuti RM50,000 dan yang terakhir sebanyak RM100,000 bagi meluaskan perniagaannya.

Menurutnya, pinjaman yang disediakan Hijrah Selangor amat membantu khususnya ketika waktu mencabar, selain turut menyertai pelbagai peluang dan kursus keusahawanan.

“Impian saya untuk lebih konsisten dalam perniagaan. Jika kewangan dan tenaga kerja mencukupi, Insya-Allah saya berharap dapat buka lebih banyak cawangan dan membantu ramai ibu bapa,” kata ibu tiga anak ini.

Pada majlis berkenaan, Rahmah turut menerima penghargaan Anugerah Success Story 2023/2024 dan Anugerah Usahawan Wanita Unggul, sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan RM1,450 berserta plak dan sijil penghargaan.

Penyampaian anugerah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi EXCO Keusahawanan Najwan Halimi di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC), di sini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.