SHAH ALAM, 11 DIS: Projek Turapan Mega dicadang dilaksana setiap tahun bagi membaiki kerosakan jalan sekali gus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya sentiasa mengumpul aduan mengenai kualiti jalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah selain menentukan laluan yang perlu diturap.
"Masih terdapat jalan terutama di bawah PBT dan pejabat daerah yang perlu segera diturap. Sebab itu projek turapan bagi meningkatkan kualiti jalan raya di seluruh negeri diteruskan tahun depan dengan peruntukan RM50 juta,.
"Tahun sebelum ini kita lihat dan kumpulkan jalan yang perlu dibaiki sama ada yang dipohon PBT, JKR atau pejabat daerah. Selepas kita laksanakan dan mendapat komen positif, saya berpandangan elok dibuat setiap tahun,” katanya dalam program SKOP terbitan Selangor TV.
Mengulas mengenai tanggapan turapan cepat rosak, beliau berkata kebiasannya jalan raya mempunyai tarikh luput dalam tempoh 20 hingga 25 tahun.
"Setiap barangan ada tarikh luputnya, begitu juga dengan jalan. Apabila tarikh luputnya sampai, ini bermakna struktur jalan itu perlu diperbaiki atau dinaik taraf.
“Kalau jalan itu sudah luput, strukturnya sudah rosak. Kalau kita tampal itu tidak akan beri kesan kerana tampalan itu hanya boleh bertahan beberap hari sahaja.
“Jadi program menaik taraf jalan dilaksana dari semasa ke semasa. Cuma kerja menaik taraf tidak boleh dilaksana secara serentak atas sebab kemampuan kita, ia melibatkan kos yang sangat tinggi," katanya.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM50 juta bagi meneruskan Projek Turapan Mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk yang dijalankan secara menyeluruh.