ad
AGENDA

Dua dalang utama bantu kemasukan warga asing di KLIA bakal didakwa

9 Dis 2024, 12:08 PM
Dua dalang utama bantu kemasukan warga asing di KLIA bakal didakwa

PETALING JAYA, 9 DIS: Dua pegawai Jabatan Imigresen yang dipercayai dalang utama dalam kes membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan modus operandi "counter setting" dijangka didakwa di mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata keputusan untuk mendakwa dua pegawai terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, kes ini mungkin akan dibawa ke mahkamah pada bulan ini, atau berkemungkinan pendakwaan akan ditangguhkan hingga awal tahun hadapan,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa di sini hari ini.

SPRM sebelum ini menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi "counter setting".

Menurut Azam, masalah utama disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

Sementara itu, Azam mendedahkan siasatan salah laku dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya melibatkan seorang individu yang merupakan kepimpinan tertinggi persatuan terbabit.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak enam saksi tambahan telah dipanggil untuk dirakam percakapan dengan siasatan melibatkan isu tuntutan elaun individu dalam persatuan berkenaan.

"Siasatan masih berjalan dan saya tidak mempunyai banyak maklumat berkenaan isu itu,” katanya.

Sebelum ini, lima pegawai daripada SPRM hadir ke pejabat BAM di Bukit Kiara pada Selasa lepas untuk meneliti beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat bagi tujuan siasatan.

Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai SPRM mengunjungi pejabat badan induk itu minggu lepas bagi mendapatkan maklumat tertentu dan BAM memberikan kerjasama penuh sepanjang kehadiran pegawai berkenaan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.