SHAH ALAM, 8 DIS: Program tangkapan ikan bandar raya (pleco) diteruskan pada bulan ini susulan kejayaan siri pertama mengurangkan populasi ikan asing yang diadakan pada September lalu.
EXCO pertanian berkata program memburu ikan pemangsa yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap kilogram diadakan setiap Sabtu dan Ahad di anak Sungai Kuyoh, dekat Seri Kembangan.
“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri bagi menjaga kelestarian dan ekosistem di perairan sungai kita dari dijajah ikan asing,” kata Ir Izham Hashim di Facebook.
Sepanjang September lalu, program berkenaan dilaksana di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat. Program julung kali itu mendaratkan 4,467 kilogram ikan dengan membabitkan penyertaan lebih 100 orang.
Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan insentif tangkapan ikan bandar raya sebagai langkah mengurangkan populasi yang menjadi antara penyebab runtuhan tebing sungai dan ban kerana menebuk lubang untuk bertelur.
Pembiakan tidak terkawal ikan berkenaan juga menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.
[caption id="attachment_676947" align="aligncenter" width="620"] EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melihat ikan bandaraya yang ditangkap sempena Program Tangkap Ikan Bandaraya (Pleco) di anak Sungai Kuyoh dekat Seri Kembangan pada 8 Disember 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_676893" align="aligncenter" width="620"] EXCO Petanian Ir Izham Hashim melihat ikan bandaraya yang berjaya di tangkap ketika aktiviti memburu ikan asing bersama komuniti melalui program pemuliharaan sumber perikanan darat Sungai Langat oleh Jabatan Perikanan Selangor di Denai Sungai Kebangsaan, Hulu Langat pada 9 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]