ad
AGENSI

Selangor gubal enakmen perikanan sungai, tangani ancaman ikan asing

29 Jun 2025, 4:00 PM
Selangor gubal enakmen perikanan sungai, tangani ancaman ikan asing

SHAH ALAM, 29 JUN: Selangor bakal memperkenalkan Enakmen Perikanan Darat pada tahun ini bagi mengekang kehadiran ikan asing di sungai.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Noraisyah Abu Bakar berkata perundangan tersebut membabitkan aktiviti pelepasan ikan di sungai termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Jabatan Perikanan negeri sedang membangunkan kaedah perikanan, perikanan sungai negeri Selangor, dimana kita dapat kerjasama yang sangat baik daripada Kamar Penasihat Undang-Undang Selangor.

“Insya-Allah sekarang dalam proses akhir untuk kita memuktamadkan draf, selepas ini kita akan teruskan dengan proses selanjutnya untuk semakan dan terus ke Kerajaan Negeri untuk diwartakan,” katanya ketika diwawancara, baru-baru ini.

Noraisyah berkata, enakmen tersebut diwujudkan berdasarkan Akta Perikanan 1985, selain Selangor merupakan negeri kelima yang memperkenalkan undang-undang perikanan sungai.

Jelasnya, sudah tiba masanya Kerajaan Selangor menguatkuasa perundangan sungai berikutan kehadiran ikan asing yang amat ketara di sungai-sungai utama negeri.

“Dari segi kompaun, denda, memang ada dinyatakan. Tetapi kita tidak boleh umum sekarang. Kita buat pun bukan secara semborono, kita dapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai pihak,” katanya.

Untuk rekod, Akta Perikanan 1985 merupakan undang-undang yang mengawal selia aktiviti perikanan, merangkumi pelbagai aspek seperti pengurusan sumber perikanan, pemuliharaan, penangkapan ikan di laut dan sungai, serta penternakan ikan.

Pada November tahun lalu, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri sedang melengkapkan aspek perundangan di bawah Jabatan Perikanan bagi mengekang kebanjiran ikan asing di sungai.

Izham dilapor berkata tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu populasi ikan asing yang menggugat ekosistem perairan selain menjadi pemangsa ikan tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.