KUALA LUMPUR, 7 DIS: Tujuh unit kedai menjual ikan perhiasan musnah dalam kebakaran di Jalan Pudu di sini malam semalam.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Salehtul Azmir Abdullah berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kebakaran pada 9.38 malam.
Beliau berkata panggilan tersebut diterima melalui sistem MERS999 sebelum JBPM menghantar jentera ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati kebakaran melibatkan tujuh unit kedai dengan anggaran keluasan kebakaran 13 x 3.7 meter persegi musnah 100 peratus.
"Kebakaran setakat ini tidak melibatkan mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan unit forensik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Salehtul Azmir berkata pasukan operasi melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu serta bantuan BBP Jalan Hang Tuah dan Bandar Tun Razak bersama tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah 'water tanker' serta jentera Aerial Ladder Platform (ALP).
"Jumlah kekuatan pasukan operasi yang terlibat adalah seramai 32 anggota lain-lain pangkat," katanya.
- BERNAMA


