AGENDA

Sultan titah bendung buli, hukuman berat terhadap pelaku

5 Dis 2024, 4:10 AM
Sultan titah bendung buli, hukuman berat terhadap pelaku

SHAH ALAM, 5 DIS: Hukuman berat perlu dikenakan terhadap pembuli bagi membendung salah laku tersebut di sekolah dan universiti, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dalam temu bual eksklusif bersama The Star baru-baru ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah polis serta hakim yang membicarakan kes buli perlu memastikan hukuman setimpal dengan kesalahan berat yang dilakukan.

"Jangan ada bentuk buli di semua sekolah dan universiti. Buli siber dan buli secara umum tidak boleh dibenarkan,’’ titah baginda ketika mengulas insiden baru-baru ini di mana seorang pengaruh media sosial meninggal dunia selepas dibuli di media sosial.

Baginda turut menyentuh tiga kes buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini.

"Angkatan tentera harus berdisiplin dan insiden buli berlaku di universiti dan bukan sekolah. Pegawai yang terlibat dalam kes seperti itu di sini secara amnya tidak bertanggungjawab.

"Saya fikir jika ia di Jepun, mereka akan meletakkan jawatan dan meminta maaf," tegas Sultan Selangor.

Baginda juga mengingatkan semua pihak supaya menghormati antara satu sama lain, mempelajari cara hidup yang harmoni serta saling membantu antara satu sama lain.

Mengenai perkara lain, Sultan Sharafuddin bertitah rumah dan kilang tidak boleh dibina berhampiran sungai bagi mengelak pembuangan efluen.

"Kita perlu ada ruang kosong yang mencukupi di tebing sungai untuk bertindak sebagai zon penampan," titah baginda.