ad
AGENDA

PM: Jumlah mangsa banjir 2024 tertinggi berbanding 2014, waspada gelombang kedua

4 Dis 2024, 11:42 AM
PM: Jumlah mangsa banjir 2024 tertinggi berbanding 2014, waspada gelombang kedua

PUTRAJAYA, 4 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu iaitu seramai 235,706 orang, daripada 68,868 keluarga di sembilan negeri terjejas, adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara pada MTL 2014/2015.

Anwar pada masa sama turut menzahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutama di negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu surut sedikit, namun beberapa kawasan di Johor dan Pahang menunjukkan trend menaik.

“Kebimbangan ialah kemungkinan (ramalan dari) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), (akan berlaku) gelombang kedua," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Mengulas perkembangan terkini banjir Anwar berkata setakat 6 pagi tadi 65,991 mangsa daripada 19,969 keluarga ditempatkan di 220 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu Perdana Menteri berkata Skuad Ihsan MADANI yang terdiri daripada sukarelawan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi akan digembleng atur gerak bagi membantu fasa pemulihan pasca bencana.

Skuad itu yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, akan diselaras oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.