SHAH ALAM, 3 DIS: Ibu hamil disaran mematuhi jadual pemeriksaan bulanan sepanjang kehamilan bagi memantau kesihatan diri dan janin sekali gus mengelak risiko kelahiran pramatang.
Konsultan Pediatrik MSU Medical Centre berkata pemeriksaan kandungan secara rutin penting bagi memastikan sebarang penyakit yang boleh mendatangkan komplikasi seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau jangkitan dikesan lebih awal.
[caption id="attachment_676235" align="aligncenter" width="726"] Konsultan Pediatrik MSU Medical Centre Dr Syed Nazir M.S.Kadir[/caption]
“Pastikan anda jumpa doktor. Jangan tinggal pemeriksaan antenatal, tidak kira di klinik kesihatan atau klinik swasta walaupun anda rasa selesa dan sihat.
“Anda tidak tahu bila akan dapat kencing manis atau tekanan darah tinggi jika tidak datang pemeriksaan. Semuanya akan jadi bermasalah nanti. Itulah antara punca (berlakunya kelahiran pramatang),” katanya Dr Syed Nazir M.S.Kadir.
Bercakap dalam program Hai Selangor terbitan SelangorTV, Dr Syed Nazir berkata bukan semua bayi pramatang mengalami komplikasi, terutama mereka yang lahir pada usia kandungan 32 minggu ke atas dan mempunyai berat 1.8 kg dan ke atas.
“Selepas dilahirkan bayi-bayi ini akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk dipantau kesihatan mereka. Apabila berat sudah naik biasanya 1.8 kg dan ke atas, boleh minum sendiri, tidak perlu bantuan oksigen mereka akan dibenarkan balik.
“Namun harus diingat perkembangan setiap bayi tidak sama. Ada bayi yang perlu tinggal di NICU sehingga setahun lamanya. Ada bayi tiga hari sahaja. Tempoh di NICU tidak boleh ditetapkan kerana ia banyak bergantung kepada tahap kesihatan bayi dan isu dialami mereka,” katanya.
Mengulas lanjut katanya antara komplikasi yang boleh berlaku kepada bayi pramatang termasuk masalah jantung, jangkitan kuman dan cerebral palsy.
Beliau turut menolak mitos kononnya bayi pramatang yang dilahirkan pada usia lapan bulan kandungan atau sekitar 32 hingga 36 minggu tidak mampu bertahan hidup.
“Bagi kami orang perubatan lahir tujuh bulan atau lapan bulan, kita lebih suka lapan bulan. Sekurang-kurangnya ada empat minggu lagi, berat bayi pun bertambah mungkin sudah dua kg, peluang untuk hidup lebih tinggi,” katanya.