SHAH ALAM, 29 NOV: Pengusaha ternakan akuakultur jenama Udang Kara Ayubie memperoleh hasil jualan bulanan lebih RM10,000 selepas menyertai Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS).
Mula menyertai program inisitif negeri pada tahun lalu, Nor Wani Idayu Ab Wahid, 36, mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami Mohd Fazli Abd Rahim, 40 di Kampung Delek, Klang.
Jelas Nor Wani Idayu, mereka tidak sangka permulaannya sebagai hobi kini mendapat sambutan dan hasil jualan bulanan juga mampu mencecah lebih RM10,000.
[caption id="attachment_675703" align="alignleft" width="356"] Nor Wani Idayu Ab Wahid mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami Mohd Fazli Abd Rahim di Kampung Delek, Klang.[/caption]
"Pada tahun 2016 kami buat sekadar hobi sebab suami memang minat berkaitan akuatik manakala saya pula suka terokai lebih luas lagi jadi kami membeli lima ekor udang kara sebagai permulaan.
"Selepas tiga bulan udang itu hampir nak masuk kuali tetapi takdir Allah, semasa nak tangkap udang kara itu ada seekor yang bertelur dalam jumlah yang banyak.
"Maka, keputusan untuk memasak dibatalkan dan saya berhasrat membuka perniagaan dan Alhamdulillah sehingga kini ia semakin mendapat sambutan terutama apabila menyertai U-PLATS," katanya ketika dihubungi.
Mengulas berhubung PLATS, Nor Wani Idayu berkata mereka banyak membantu dalam aspek pengurusan syarikat, kaedah memasarkan produk secara dalam talian termasuk membantu mendapatkan sijil halal.
"PLATS juga kenalkan kami dengan Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd, kalau tiada mereka mungkin masih jauh atau sukar untuk kami dapatkan pensijilan halal.
"Sebelum ini hasil jualan setiap bulan sekitar RM3,000 tetapi syukur selepas sertai U-PLATS boleh capai RM5,000 hingga lebih RM10,000 sekiranya ada musim perayaan atau majlis keraian pasti ramai yang akan tempah udang kara kami," katanya.
Dalam pada itu, beliau dan suami turut menyimpan impian untuk melebarkan jenama Udang Kara Ayubie sehingga ke luar Selangor termasuk memasarkan di pasar raya seperti Mydin atau AEON.
"Saya bersedia sekiranya PLATS mahu menawarkan sebarang kursus sebab memang kami rancang nak lebarkan lagi perniagaan ini termasuk impian mahu membuka francais satu hari nanti," katanya.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta tahun depan bagi meneruskan Platform Selangor (PLATS) bertujuan memperkasa perusahaan mikro kecil sederhana di Selangor.
Program berkenaan bakal memperkenal manfaat terbaharu iaitu U-PLATS Expand dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Usahawan akan dibimbing untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negara dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.