SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengarahkan anggota cabang membantu mangsa banjir di seluruh negeri, termasuk pembersihan pascabah kelak.
Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil berkata pimpinan turut memutuskan kongres nasional parti 2024 ditangguhkan ke satu tarikh lain berikutan isu banjir yang dijangka berterusan.
"KEADILAN merakamkan ucapan takziah buat lebih 131,000 mangsa bencana banjir yang melanda sembilan negeri setakat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir mencecah 142,799 orang daripada 42,866 keluarga setakat jam 5.30 petang ini.
Ketika ini, sebanyak 709 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negara. Kelantan kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 91,077 orang membabitkan 28,229 keluarga.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu kongres khas bagi meminda perlembagaan parti akan diadakan secara hibrid, dengan tarikhnya bakal diumum setiausaha agung.
Pada masa sama, Fahmi berkata pimpinan turut membincangkan isu buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang semakin menggusarkan dan menarik perhatian mutakhir ini.
"KEADILAN mencadangkan agar beberapa perkara dasar diteliti segera, termasuk kempen kesedaran buli dilaksana secara menyeluruh," katanya.


