SHAH ALAM, 30 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerima Anugerah Kelestarian Forward Faster UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB) 2024 dalam satu majlis di Kuala Lumpur, semalam.
MBI menerusi kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut diterima atas inisiatif kelestarian dalam melaksana projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).
“Pengiktirafan ini memfokuskan kepada objektif SABDA dalam memperkasa komuniti tempatan dan membangunkan ekosistem mampan di Sabak Bernam, sejajar dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“SABDA merupakan inisiatif yang menggalakkan kemakmuran ekonomi disamping mengekalkan keseimbangan antara kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Anugerah bawah kategori Partnership for the Goals itu diterima Ketua Divisyen Kewangan Kumpulan MBI Selangor, Zannifa Azura Ahmad dalam majlis UNGCMYB Sustainability Celebration Night 2024 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Dalam majlis sama, tambah kenyataan itu, MBI turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UNGCMYB bagi memberdaya program pembangunan serta menangani cabaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurutnya, kedua-dua pihak bersedia meneroka peluang lebih luas untuk menyokong komitmen bersama terhadap kelestarian di rantau ini.
“Melalui kerjasama ini, MBI yakin bahawa ia akan memperkukuh usaha kelestariannya, sejajar dengan agenda pembangunan kelestarian Selangor ke arah negeri pintar, berdaya huni dan makmur,” katanya.


