SHAH ALAM, 30 NOV: Hasil jualan usahawan susu di bawah jenama susu Samika meningkat 50 peratus selepas mengikuti Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS).
Mohd Noor Hapizin, 38, mengakui PLATS banyak mengajar selok-belok pemasaran dan kaedah mempromosi secara dalam talian dengan lebih efektif sejak beliau mengikuti program itu, tahun lalu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ayah Susu bersedia mengikuti program anjuran PLATS pada masa akan datang memandangkan hasratnya mahu mengembangkan lagi jenama susu Samika.
"Saya tahu mengenai PLATS daripada media sosial Majlis Bandaraya Subang Jaya dan cuba mohon, Alhamdulillah prosesnya pun mudah dan tidak mengambil masa lama untuk lulus.
"Alhamdulillah, selepas mengikuti PLATS hasil jualan meningkat 50 peratus, kalau sebelum ini mampu capai RM25,000 kini meningkat RM50,000 sebulan," katanya ketika dihubungi.
[caption id="attachment_675608" align="aligncenter" width="632"]
Antara pencapaian Mohd Noor Hapizin, 38, sejak menyertai Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS). Foto Mohd Noor Hapizin[/caption]
Memasarkan susu Samika di lebih 150 sekolah seluruh Selangor, Mohd Noor berkata produk itu turut dijual di Pasar Tani MAEPS Serdang setiap Sabtu dan turut masuk ke pelbagai karnival.
Mengulas berhubung U-PLATS Expand, Mohd Noor yang dahulunya jurutera Tenaga Nasional Berhad bersedia untuk mengikuti program itu kerana sasarannya mahu membuka francais.
"Saya sasar nak buka francais dan bawa jenama susu Samika hingga luar Selangor agar lebih dikenali dan pada masa sama imbau kenangan dulu-dulu sebab sekarang dah tak ramai jual susu ini.
"Saya berharap PLATS dapat membimbing lebih ramai usahawan kerana adakalanya usahawan ini mereka ada idea tetapi tidak tahu untuk mengembangkannya," kata bapa anak dua itu.
Memilih gabungan nama anaknya sebagai jenama, Mohd Noor berkata Sa bermaksud satu-satunya anak saya manakala Mi (Mikail) dan Ka (Mikayla).
"Syukur sangat selepas saya berhenti kerja, pelbagai kerja dilakukan tetapi tidak berjaya akhirnya jenama ini yang membawa rezeki kepada kami sekeluarga," katanya.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi meneruskan Platform Selangor (PLATS) bertujuan memperkasa perusahaan mikro kecil sederhana di Selangor.
Program berkenaan bakal memperkenal manfaat terbaharu iaitu U-PLATS Expand dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Antara program yang akan ditawar dalam U-PLATS Expand adalah program bersama Pernas. Peniaga yang dilatih di fasa 1 dan 2 dibimbing untuk mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh negara seterusnya ke peringkat antarabangsa,” katanya.
PLATS diperkenal pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.
[caption id="attachment_675611" align="aligncenter" width="772"]
Usahawan susu Samika, Mohd Noor Hapizin, 38, menunjukkan produk keluarannya kepada orang ramai. Foto Mohd Noor Hapizin[/caption]


