ad
AGENDA

MALBATT 850-12 salur sumbangan kepada penduduk Lubnan hadapi musim sejuk

30 Nov 2024, 12:15 AM
MALBATT 850-12 salur sumbangan kepada penduduk Lubnan hadapi musim sejuk

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Angkatan Tentera Malaysia melalui Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 melaksanakan Program Jiwa Murni atau Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) dengan menyalurkan sumbangan kepada penduduk setempat di Hospital Tibnine, Lubnan bagi menghadapi musim sejuk.

Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu diserahkan kepada wakil Pengarah Hospital Tebnine iaitu Hasan Abbas oleh Komander MALBATT 850-12 Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh Selasa lalu.

Kenyataan itu memaklumkan sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha membantu masyarakat setempat menghadapi cabaran musim sejuk dan antara barangan yang diberikan ialah ubat-ubatan, peralatan hospital, mainan dan bahan bacaan kanak-kanak sumbangan badan bukan kerajaan dari Malaysia.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban masyarakat tempatan dan menyokong misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dalam mempromosikan keamanan dan kesejahteraan.

“Kejayaan program ini menjadi langkah awal yang signifikan dalam membina kepercayaan dan hubungan erat antara pasukan pengaman dan masyarakat tempatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan program CIMIC adalah aktiviti pertama yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12 sejak mengambil alih tugas operasi pada 16 November lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.