ad
AGENDA

JPS Klang pasang pam penggalak di Sungai Binjai, atasi banjir termenung

29 Nov 2024, 12:59 PM
JPS Klang pasang pam penggalak di Sungai Binjai, atasi banjir termenung

SHAH ALAM, 29 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang melaksanakan pemasangan pam penggalak di Sungai Binjai, Klang bagi mengatasi masalah air banjir termenung.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, pam berkenaan dapat mempercepatkan aliran air ke saliran utama, seterusnya membantu menstabilkan paras air di kawasan terjejas.

"Tujuan utama pemasangan (pam penggalak) adalah untuk mempercepatkan proses pengeluaran air yang bertakung serta melancarkan aliran air, sekali gus mengurangkan risiko banjir berlarutan.

"Langkah ini sebahagian daripada usaha menangani situasi banjir di daerah Klang dan memastikan kesejahteraan penduduk setempat terjamin," katanya.

Menurut JPS Klang, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan keberkesanan operasi pam penggalak selain mengambil tindakan lanjut bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan berkenaan.

Setakat 8.30 malam ini, info daripada laman sesawang JPS negeri menunjukkan paras air sungai di pekan Meru masih melepasi tahap bahaya dengan bacaan 4.55 meter (m) berbanding paras normal 2.8m.

Hujan lebat semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Klang dilanda banjir kilat, susulan itu, 77 keluarga terjejas ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.