AGENDA

Seluruh Selangor, KL dan Putrajaya diramal hujan lebat hingga 9 pagi

28 Nov 2024, 11:50 PM
Seluruh Selangor, KL dan Putrajaya diramal hujan lebat hingga 9 pagi

SHAH ALAM, 29 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 9 pagi.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama diramal melanda seluruh Negeri Sembilan dan Melaka selain beberapa kawasan di Johor.

MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.