SHAH ALAM, 28 NOV: Dua kenderaan terkandas akibat banjir kilat di Jalan Meru-Bandar Setia Alam berikutan hujan lebat sejak petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, dua kenderaan terlibat adalah jenis pacuan empat roda dan Perodua Axia, lapor Sinar Harian.
Menurut Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
"Seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Malam ini, Unit Pengurusan Bencana negeri, memaklumkan beberapa lokasi dilanda banjir kilat, kawasan terjejas ialah Taman Daya Meru, Pekan Meru dan Taman Bukit Hijau, Kuala Selangor.
Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat di seluruh Selangor berterusan sehingga jam 1 pagi ini.


