AGENDA

Kes simbah asid Faisal Halim, Selangor pertimbang guna saluran perundangan

27 Nov 2024, 11:04 AM
Kes simbah asid Faisal Halim, Selangor pertimbang guna saluran perundangan
Kes simbah asid Faisal Halim, Selangor pertimbang guna saluran perundangan
Kes simbah asid Faisal Halim, Selangor pertimbang guna saluran perundangan

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran perundangan berhubung kes siasatan serangan asid membabitkan pemain Selangor FC Faisal Halim.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata tindakan berkenaan boleh dilakukan sekiranya tiada keputusan atau maklum balas daripada hasil siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Kita tidak tolak keperluan untuk pihak peguam dan pengurusan Selangor FC mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi sekiranya tidak ada apa-apa keputusan daripada hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Peruntukan Pembangunan 2025 dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau menjawab celahan wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin yang ingin tahu sekiranya Kerajaan Negeri mempertimbang tindakan saman berikutan kes Faisal Halim yang dibiar berlarutan.

[caption id="attachment_675204" align="aligncenter" width="700"] EXCO Sukan Najwan Halimi ketika sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor pada 27 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Najwan turut berharap semua Ahli Dewan Negeri dapat memberikan sedikit tekanan kepada pihak berkuasa supaya perkembangan hasil siasatan kes dapat dilapor dari masa ke semasa.

Kelmarin, DNS memaklumkan sudah menerima maklum balas daripada polis berhubung kejadian simbahan asid yang menimpa Faisal Halim.

Timbalan Speaker Mohd Kamri Kamaruddin berkata makluman daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memberitahu kes berkenaan diambil alih pasukan khas unit siasatan jenayah terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Pada Julai, DNS meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan itu selepas dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selain ia dibahaskan lima orang Ahli Dewan Negeri.

Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal dikenali sebagai ‘Mickey’ melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.

Akibat kejadian itu, pemain sayap berkenaan mengalami lecur tahap empat namun kini semakin pulih malah sudah turun beraksi membantu Red Giant dalam beberapa perlawanan.

[caption id="attachment_675214" align="aligncenter" width="700"] Penyokong mengambil gambar bersama mural wajah Faisal Halim ketika tinjauan di luar stadium ketika perlawanan antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.