BERITA UTAMA

Hampir 9,000 penduduk jalani saringan kesihatan percuma tahun ini

27 Nov 2024, 6:00 AM
Hampir 9,000 penduduk jalani saringan kesihatan percuma tahun ini
Hampir 9,000 penduduk jalani saringan kesihatan percuma tahun ini

SHAH ALAM, 27 NOV: Seramai 6,991 penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring sepanjang tahun ini, kata exco kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan 38 peratus atau 2,673 peserta berumur 46 hingga 64 tahun menjadikan kumpulan paling ramai menjalani saringan ini.

“Program Selangor Saring secara keseluruhan merekod 73 peratus atau 5,080 peserta wanita manakala bakinya 27 peratus (1,911) terdiri daripada lelaki,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid yang ingin mengetahui jumlah peserta Selangor Saring daripada segi umur dan jantina dalam Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_662383" align="alignnone" width="855"] Orang ramai mendapatkan perkhidmatan percuma dalam program Selangor Saring DUN Subang Jaya di Dewan MBSJ, Subang Jaya pada 8 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Jamaliah memberitahu Kerajaan Negeri sedang melaksanakan program saringan kesihatan khas untuk warga emas yang dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO), BeVital.

Tambahnya, kriteria utama untuk peserta program saringan itu adalah warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.

“Melalui projek rintis ini, penilaian asas status kesihatan warga emas dan saringan keuzuran akan dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti mengikut jumlah warga emas yang tinggi, sebagai contoh di Klang.

“Susulan daripada saringan yang dijalankan, taklimat berbentuk pendidikan, program senaman kerapuhan dan rawatan fisioterapi akan disediakan untuk peserta yang dikenal pasti mempunyai risiko atau menghadapi masalah kerapuhan,” jelasnya.