ad
AGENSI

Pesta buku Selangor mulai esok, peluang dapatkan karya agung terjemahan IBDE

26 Nov 2024, 2:30 PM
Pesta buku Selangor mulai esok, peluang dapatkan karya agung terjemahan IBDE
Pesta buku Selangor mulai esok, peluang dapatkan karya agung terjemahan IBDE

SHAH ALAM, 26 NOV: Orang ramai berpeluang mendapatkan karya terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) bermula esok hingga 3 Disember

Bertempat di Pusat Konvensyen Setia City, pengunjung boleh ke reruai IBDE bernombor P100 dan N69 dalam dewan 1 untuk membeli pelbagai karya agung dunia dengan harga menarik.

"Seperti tahun-tahun sudah, IBDE membawakan anda buku-buku terjemahan karya agung dunia! Jangan lupa temu janji kita bermula jam 9 pagi sehingga 10 malam. Pelbagai tawaran menarik menanti anda! Setahun hanya sekali, datanglah setiap hari," kongsi IBDE di Facebook.

SIBF tahun ini menampilkan kelainan apabila dianjurkan di bawah Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES). SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan Pesta Buku Selangor yang diadakan sejak 2006.

Semalam, IBDE menyenaraikan carta mingguan 10 judul paling laris antara 18 hingga 24 November 2024. Beberapa naskhah terjemahan itu diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor.

Buku tersebut ialah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9, Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60, Ramuan Kebahagiaan dan Renungan Metafizik.

Turut mendapat permintaan Gelagat dan Ragam Orang Melayu, Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang, Menghidupkan Ilmu Agama Jilid 1: Kitab Ilmu, Penyelamat daripada Kesesatan dan Perdukunan Melayu.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan www.bukuibde.com.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.