AGENDA

Sidang kemuncak pendidikan negeri pacu inovasi, penuhi keperluan semua

26 Nov 2024, 6:35 AM
Sidang kemuncak pendidikan negeri pacu inovasi, penuhi keperluan semua
Sidang kemuncak pendidikan negeri pacu inovasi, penuhi keperluan semua

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 26 NOV: Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 yang dianjurkan mulai esok hingga 1 Disember adalah platform penting dalam memacu pendidikan dan inovasi negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran SES 2024 itu juga memberi peluang kepada orang ramai mengikuti pelbagai program termasuk dalam teknikal dan vokasional.

Bercakap dalam temu bual dengan stesen radio KoolFm hari ini, beliau berkata ia turut merangkumi pendidikan agama Islam termasuk maahad integrasi sains.

"Setiap tahun lebih 35,000 graduan direkodkan di negeri ini dan penganjuran SES yang julung kali diadakan ini memberi peluang kepada masyarakat untuk meneroka pelbagai program.

"Daripada inisiatif seperti program 'Kembali ke Sekolah' yang mana kita sediakan beg sekolah kepada pelajar sehinggalah penyediaan kepada pendidikan bertaraf dunia termasuk latihan teknikal dan vokasional," katanya.

SES berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City dan lebih 300,000 pengunjung dijangka hadir.

Program julung kali itu menghimpunkan empat ekspo utama berteras pendidikan iaitu Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF), Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor (SRIE); Ekspo Pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024.

Amirudin berkata sidang kemuncak itu juga menyediakan program pendidikan formal dan tidak formal seperti pesta buku dan pertandingan.

Beliau berkata ia memenuhi keperluan semua peringkat usia melibatkan kanak-kanak hingga dewasa, pendidikan awal serta program intervensi dan pendidikan tinggi.

Sementara itu dalam Facebooknya, Amirudin mengajak warga Selangor bersama-sama memeriahkan SES 2024 bagi membentuk generasi masa depan yang lebih cemerlang melalui pendidikan berkualiti dan inovasi mampan.

"Marilah bersama-sama menjayakan acara yang bakal membawa manfaat besar kepada rakyat Selangor. Masuk adalah percuma!," katanya.