SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 2,758 murid berkeperluan pendidikan khas menerima manfaat menerusi projek naik taraf bilik darjah menjadi bengkel kemahiran Sijil Kemahiran Malaysia.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata inisiatif berkenaan melibatkan 29 sekolah seluruh Selangor dengan peruntukan RM11.6 juta.
“Bagi 2023, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah menyediakan 1,440 peralatan dan bahan sokongan pendidikan khas melibatkan kos RM2.8 juta,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Teratai Yew Jia Hur mengenai usaha Kerajaan memastikan pelajar OKU mendapat sokongan yang mencukupi dari segi infrastruktur, teknologi, dan tenaga pengajar yang terlatih dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas mengenai usaha Kerajaan meningkatkan infrastruktur teknologi dan makmal komputer di sekolah, katanya perkhidmatan pembekalan perkhidmatan internet kepada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor diteruskan bermula Julai 2024 melibatkan 927 sekolah dan 2,583 talian dengan dana bernilai RM4.5 juta.
“Projek berkaitan inisiatif teknologi maklumat dengan pembekalan perkhidmatan internet kepada semua sekolah di bawah JPN Selangor telah disediakan secara kontrak berpusat bermula 2019 hingga Jun 2024.
“Kesinambungan perkhidmatan ini telah dibuat di peringkat JPN Selangor bermula Julai 2024 melibatkan 927 sekolah dan 2,583 talian dengan dana bernilai RM4.5 juta melibatkan tiga lokasi utama iaitu pejabat bilik guru dan makmal komputer,” katanya.


