SHAH ALAM, 25 NOV: Pelbagai tawaran menanti pengunjung di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 bermula Rabu hingga 3 Disember ini.
Orang ramai boleh berkunjung ke reruai IBDE bernombor P100 dan N69 di dewan 1 Pusat Konvensyen Setia City, untuk membeli pelbagai naskhah terjemahan karya agung dunia dengan harga menarik.
Bulan lalu, IBDE menyenaraikan 10 karya terjemahan paling laris, termasuk lima buku yang diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor.
Lima naskhah itu ialah Memelihara Jiwa: Petua Daripada Tabib Kurun ke-9; Cetera Falsafah dan Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora.
Turut mendapat permintaan ramai adalah Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945–60 serta Gelagat dan Ragam Orang Melayu.
SIBF yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia City sempena penganjuran sulung Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor menawarkan pelbagai aktiviti menarik, dengan lebih 400 reruai.
SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com.





