SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri melancarkan kempen 16 hari menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak bermula hari ini hingga 10 Disember.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kempen bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan berasaskan jantina, termasuk keganasan rumah tangga.
“Polis merupakan antara rakan kerjasama kami. Kita mahu luaskan advokasi dalam kalangan orang awam, mahasiswa dan pelbagai lagi sektor.
“Kita juga mahu memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai langkah yang boleh diambil oleh mangsa untuk melindungi diri,” katanya ketika berucap.
Pelancaran kempen disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di ruang legar bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
[caption id="attachment_674811" align="aligncenter" width="700"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen 16 Hari Menetang Kegansan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di luar Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Anfaal berkata sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilapor sejak Januari hingga Ogos lalu, dengan Gombak merekodkan kes tertinggi iaitu 147 kes.
Menurutnya, antara penyumbang kepada kes keganasan rumah tangga adalah salah faham mengenai konsep taat kepada suami dan faktor budaya masyarakat.
“Kita berada dalam budaya patriarki dan sekiranya wanita ingin menuntut hak dianggap derhaka. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana al-Quran menyatakan lelaki adalah pelindung,” katanya.
Kempen 16 hari menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak merupakan kempen antarabangsa tahunan yang dirai pada setiap 25 November.
Kempen yang bermula sejak 1991 itu digunakan oleh individu dan organisasi untuk menyeru pencegahan dan penghapusan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, khususnya.
[caption id="attachment_674812" align="aligncenter" width="709"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari (kiri) bergambar pada Majlis Pelancaran Kempen 16 Hari Menetang Kegansan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak di luar Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]