ad
AGENDA

Bekalan makanan dibenar masuk ke Gaza hanya enam peratus daripada keperluan penduduk

25 Nov 2024, 4:59 AM
Bekalan makanan dibenar masuk ke Gaza hanya enam peratus daripada keperluan penduduk

RAMALLAH, 25 NOV: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan bahawa bekalan tepung dan makanan yang dibenarkan masuk oleh pendudukan Israel melalui lintasan sempadan hanya memenuhi enam peratus daripada keperluan penduduk, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut laporan itu, situasi sedemikian menyebabkan krisis yang teruk, khususnya dalam mendapatkan bekalan roti, sehingga kebanyakan kedai roti di selatan Semenanjung Gaza terpaksa ditutup.

UNRWA menjelaskan bahawa lebih dua juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza kini dikepung oleh kelaparan, dahaga, penyakit dan ketakutan, dengan mendapatkan makanan menjadi tugas yang mustahil bagi keluarga di wilayah itu.

Agensi itu turut menyatakan bahawa keadaan penduduk berkenaan di khemah dan pusat perlindungan perpindahan adalah tragis, memandangkan kelaparan dan kesejukan, serta ketidakmampuan organisasi antarabangsa untuk memenuhi keperluan mereka akibat kekurangan makanan dan pemakanan.

UNRWA menyeru pembukaan penuh lintasan sempadan dan kemasukan bekalan yang diperlukan penduduk bagi mengurangkan kebuluran yang semakin memburukkan kes kekurangan zat makanan dan pelbagai penyakit.

- BERNAMA-WAFA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.