BERITA UTAMA

Karnival Sukan MPP Shah Alam pupuk semangat kesukanan dalam komuniti

25 Nov 2024, 12:30 AM
Karnival Sukan MPP Shah Alam pupuk semangat kesukanan dalam komuniti
Karnival Sukan MPP Shah Alam pupuk semangat kesukanan dalam komuniti
Karnival Sukan MPP Shah Alam pupuk semangat kesukanan dalam komuniti

SHAH ALAM, 25 NOV: Lebih 300 peserta menyertai acara perbarisan sempena Karnival Sukan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2024 semalam.

Berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini, acara berkenaan turut dihadiri pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh.

[caption id="attachment_674733" align="aligncenter" width="700"] Pemangku Timbalan Datuk Bandar Madiyan Baweh menyaksikan persembahan perbarisan ketika majlis penyampaian hadiah Karnival Sukan MPP Shah Alam di Dataran Shah Alam pada 24 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Karnival berlangsung sejak kelmarin mempertandingkan sembilan acar sukan termasuk bola jaring, bola keranjang, ping pong, badminton, boling, karom, sepak takraw dan bola sepak penalti selain acara perbarisan.

Madiyan berkata penyertaan dan sambutan memberangsangkan dalam karnival itu menunjukkan kerjasama erat antara MBSA sebagai pentadbir bandar raya Shah Alam dan komuniti setempat.

“Sukan merupakan antara kaedah paling berkesan dalam memupuk perpaduan dan membentuk masyarakat harmoni dalam sesebuah komuniti.

“Semangat kesukanan yang disemai melahirkan masyarakat sihat dan cergas tanpa mengira perbezaan umur, kaum dan agama,” katanya berucap pada majlis penyampaian hadiah Karnival Sukan MPP Shah Alam 2024.

Terdahulu MPP Zon 10 dinobatkan juara pertandingan perbarisan itu dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000. Naib johan dimenangi MPP Zon 6 yang membawa pulang RM1,500 dan tempat ketiga MPP Zon 7 (RM500).

[caption id="attachment_674731" align="aligncenter" width="703"] Perbarisan ketika majlis penyampaian hadiah Karnival Sukan MPP Shah Alam di Dataran Shah Alam pada 24 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Selain itu johan keseluruhan bagi acara sukan dimenangi MPP Zon 7 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala iringan, naib johan dimenangi MPP Zon 6 (RM2,000), ketiga MPP Zon 18 (RM1,000) dan keempat MPP Zon 4 (RM800).