ad
BERITA UTAMA

Kediaman strata disaran manfaat ruang kosong bina kebun komuniti

24 Nov 2024, 12:30 AM
Kediaman strata disaran manfaat ruang kosong bina kebun komuniti

SHAH ALAM, 24 NOV: Komuniti strata disaran memanfaatkan ruang-ruang kosong dengan mewujudkan kebun komuniti dalam menyumbang kepada ekosistem hijau yang lebih lestari, kata EXCO perumahan.

Datuk Borhan Aman Shah berkata kebun komuniti bukan sahaja dapat mencantikkan kawasan tetapi menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan ketahanan makanan komuniti setempat.

"Setakat ini terdapat 42 kebun komuniti seluruh Selangor dan penduduk semakin menunjukkan komitmen kerana adanya bantuan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan.

"Ini merupakan satu perkembangan baik kerana selain dapat menjana ekonomi setempat ia merapatkan ukhuwah antara penduduk," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Laman Hijau Strata Selangor 2024 semalam.

Terdahulu, Kebun Komuniti Permai Putera memenangi tempat pertama Anugerah Laman Hijau Strata 2024 selain Anugerah Khas Pemberdayaan Ekonomi.

Selain itu, Kebun Komuniti USJ14 menerima dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Bandar Berdaya Huni dan Anugerah Khas Inovasi Laman Hijau.

Manakala Anugerah Khas Komuniti Ceria diberikan kepada Kebun Komuniti Balai Bomba Pandan Indah dan Majlis Bandaraya Subang Jaya pula menerima Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik.

Pada masa sama, Borhan turut menggalakkan pihak berkuasa tempatan membantu komuniti strata yang membina kebun komuniti sebagai tanda sokongan.

"Dahulu Majlis Perbandaran Ampang Jaya sahaja kini ada beberapa lain semakin menyerlah seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya. Jadikan mereka ini sebagai contoh khususnya pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kediaman strata," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.