AGENSI

50 individu terpilih ikuti latihan pembangunan usahawan Disember ini

22 Nov 2024, 10:58 AM
50 individu terpilih ikuti latihan pembangunan usahawan Disember ini
50 individu terpilih ikuti latihan pembangunan usahawan Disember ini

KUALA SELANGOR, 22 NOV: Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) Digital siri kedua dianjur dari 3 hingga 5 Disember ini di Hotel Concorde, Shah Alam.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata 50 usahawan terpilih mengikuti kursus tersebut berpeluang mendapat peranti sistem POS (point of sale) (sistem titik jualan) secara percuma.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor program U-PLATS siri satu yang bermula September 2023 kini selesai dianjurkan setakat Mac lalu manakala siri kedua pada Oktober dan dijangka berakhir Februari 2025.

“Menerusi siri kedua ini kursus lebih menumpukan kepada asas keusahawanan termasuk cara penggunaan media sosial, tips jualan di TikTok yang mana kita akan beri latihan padat supaya mereka boleh guna untuk mengembangkan perniagaan.

“Menariknya, bagi siri kedua nanti peserta dapat peranti sistem POS selain diberi keutamaan menyertai karnival tertentu anjuran MBI serta berpeluang membuat pinjaman tanpa faedah di bawah Plats Biaya,” katanya.

[caption id="attachment_674397" align="alignleft" width="500"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan komputer riba di Pejabat Penyelaras DUN Bukit Melawati pada 22 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan komputer riba di Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di sini hari ini.

Mengulas berhubung jumlah peserta mengikuti program U-PLATS Digital siri dua, Ahmad Azri berkata seramai 200 usahawan disasar menyertai kursus percuma tersebut bagi keseluruhan empat sesi.

Jelasnya, sesi pertama selesai dianjurkan dari 22 hingga 24 Oktober di Best Western i-City Hotel, Shah Alam diikuti Hotel Accapella (5-7 November) manakala akan datang sesi terakhir dijangka pada 4 hingga 6 Februari 2025.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI berkata U-PLATS adalah inisiatif baharu bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Saipolyazan M Yusop berkata menerusinya usahawan bakal menerima manfaat daripada program anjuran agensi itu yang diselia oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).