ad
AGENDA

Pembunuh penuntut Malaysia diarah bayar pampasan kepada keluarga mangsa

22 Nov 2024, 8:44 AM
Pembunuh penuntut Malaysia diarah bayar pampasan kepada keluarga mangsa

TAIPEI, 22 NOV: Sebuah mahkamah dalam prosiding sivil semalam memutuskan seorang lelaki Taiwan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Januari 2024 kerana membunuh penuntut Malaysia, perlu membayar lebih NT$6 juta (US$196,020) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Mahkamah Daerah Shilin memerintahkan Chen Po-yen membayar NT$3,010,355 dan NT$3,369,999 masing-masing kepada ibu dan bapa penuntut universiti wanita yang dicekiknya sehingga mati, dengan faedah tahunan lima peratus dikira mulai Ogos 2023.

Keputusan mahkamah itu boleh dirayu.

Chen, yang berusia 30 tahun ketika kejadian, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh penuntut universiti dikenali dengan nama keluarga Chai pada Oktober 2022.

Mahkamah Daerah Shilin mendapati Chen bersalah atas tuduhan membunuh pada Januari, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Taiwan Jun lalu.

Chen mengaku mencekik Chai sehingga mati di rumah sewanya selepas mangsa enggan memulangkan sebahagian daripada NT$99,999 yang telah dipindahkan ke dalam akaunnya, menurut kenyataan Mahkamah Daerah Shilin pada Januari.

Chai, yang berusia 24 tahun ketika kejadian sedang menuntut di sebuah universiti di Taipei dan bekerja sebagai model sambilan serta penstrim langsung di media sosial, menurut polis.

- BERNAMA-CNA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.