ad
AGENDA

Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB gagal lulus gencatan senjata di Gaza

21 Nov 2024, 3:19 PM
Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB gagal lulus gencatan senjata di Gaza

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Malaysia kecewa dengan kegagalan sekali lagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menerima pakai resolusi bagi mengenakan gencatan senjata dan memudah cara penyaluran segera perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Menurut kenyataan Kementerian Luar resolusi itu yang mendapat sokongan majoriti anggota UNSC itu telah digagalkan melalui penggunaan kuasa veto pada 20 November sekali gus menghalang usaha antarabangsa untuk menangani krisis yang sedang berlaku di Gaza.

"Penggunaan kuasa veto ini mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza dan menjejaskan usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia menggesa agar UNSC mengambil tindakan tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza dan melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kenyataan itu turut menegaskan keperluan badan dunia itu untuk mempertahankan prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Mengulangi solidariti teguh dengan Palestin, Malaysia menyatakan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin.

Semalam Amerika Syarikat (AS) memveto resolusi UNSC bagi gencatan senjata di Gaza - kali keempat pentadbiran Biden menyekat resolusi gencatan senjata sejak Oktober lalu, menurut laporan antarabangsa.

Majlis yang terdiri daripada 15 anggota itu telah mengundi resolusi yang dicadangkan oleh 10 anggota tidak tetap, yang menyeru kepada "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan" dalam konflik 13 bulan serta secara berasingan menuntut pembebasan tahanan.

Konflik semasa bermula pada 7 Oktober apabila Israel menyerang Gaza, menyebabkan perpindahan besar-besaran penduduk Palestin dan dilaporkan mengorbankan lebih 45,000 nyawa rakyat Palestin.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.