SHAH ALAM, 21 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi Yayasan MBI memperuntuk kira-kira RM15 juta tahun depan bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan pendidikan di Selangor.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata program terlibat termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), program kembali ke sekolah, membaik pulih prasarana sekolah dan membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
[caption id="attachment_674298" align="alignleft" width="444"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas majlis perasmian Hari Terbuka MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana di Plaza Shah Alam pada 21 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Selain itu, dana program pengupayaan sebagai tanda dorongan atau penghargaan kepada mereka yang berjaya mengangkat nama Selangor dalam pelbagai acara di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Program membaik pulih prasarana sekolah diteruskan tahun depan dengan dana RM1 juta, selain RM500,000 untuk bantu PIBG.
“Kita juga ada dana program pengupayaan, bantu pelajar di Selangor yang berjaya bertanding di peringkat luar negara dalam pertandingan seperti robotik, tarian dan sebagainya,” katanya selepas program Hari Terbuka Madani Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana 2024, di sini, hari ini.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Saipolyazan M Yusop berkata MBI komited mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan pembangunan bagi kelima-lima teras dalam Belanjawan 2025.
Katanya teras diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mewujudkan rangka kerja kukuh kepimpinan Selangor dalam landskap ekonomi negara.
[caption id="attachment_674297" align="aligncenter" width="1108"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat reruai selepas majlis perasmian Hari Terbuka MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana bertema Pendidikan MADANI Melahirkan Generasi Karamah Insaniah di Plaza Shah Alam pada 21 November 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]