AGENDA

Selangor antara tujuh negeri diramal hujan lebat hingga 9 malam

21 Nov 2024, 9:32 AM
Selangor antara tujuh negeri diramal hujan lebat hingga 9 malam

SHAH ALAM, 21 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 9 malam.

Cuaca disertai ribut petir turut dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Labuan.

Turut mengalami cuaca sama ialah beberapa daerah di Pahang, Johor dan Sabah.

MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.