SHAH ALAM, 20 NOV: Dasar Speed Selangor yang dirangka bagi memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dapat mengurangkan birokrasi dan permudah proses permohonan.
Wakil rakyat Batu Tiga Danial Al Rashid Haron berkata dasar yang dijangka mula diperkenal April tahun depan mampu menarik lebih ramai pelabur ke Selangor.
"Dasar ini bertujuan memudahcara perniagaan dan amat bertepatan dengan aspirasi pentadbiran untuk menjadikan Selangor sebagai pusat ekonomi yang lebih kompetitif dan efisien.
"Malah, dengan pelaksanaan dasar ini dapat mengurangkan kos dan masa yang perlu dibelanjakan oleh perniagaan dalam mematuhi prosedur kerajaan," katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Terdahulu, membahas Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025, Danial Al Rashid turut mencadangkan Kerajaan Negeri mewajibkan setiap pelaburan industri besar menyediakan kemudahan bersepadu untuk komuniti.
"Seiring dengan usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, pelaburan dalam industri-industri berat dan berteknologi tinggi perlu menjadi keutamaan. Namun, tidak boleh mengabaikan dampak sosial dan infrastruktur yang akan ditanggung oleh masyarakat setempat dan persekitaran.
"Oleh itu, saya cadangan pelaburan dalam industri ini selain memenuhi keperluan mereka, mereka perlu memberi manfaat kepada komuniti terutama kemudahan kediaman pekerja dan pengurusan pengangkutan," katanya.
Dato' Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 memaklumkan pentadbiran negeri bakal memperkenal Dasar Speed Selangor bagi memendekkan tempoh kelulusan KM kawasan industri terancang dari 3.5 bulan kepada 14 hari.